PERLEMBAGAAN BAGI

PERSATUAN GURU-GURU VOKASIONAL DAN TEKNIK MALAYSIA (BARU 2015)

Fasal 1 – Nama

1. Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN GURU-GURU VOKASIONAL DAN TEKNIK MALAYSIA (BARU 2015)

Selepas ini disebut pertubuhan.

2. Takrif Nama : Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Guru Vokasional Dan Teknik Malaysia. Selepas ini disebut pertubuhan.

3. Bertaraf : Kebangsaan

Fasal 2 – Tempat Urusan

1. Alamat berdaftar dan tempat urusan pertubuhan ialah

PUSAT PENYELENGGARAAN ALAT (PPA) SUNGAI BULOH,
BAHAGIAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL,
KM 22 JALAN KUALA SELANGOR, SEKSYEN U20 SG. PELONG,
47000 SUNGAI BULOH, SELANGOR

dan alamat untuk surat-menyurat adalah

PUSAT PENYELENGGARAAN ALAT (PPA) SUNGAI BULOH,
BAHAGIAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL,
KM 22 JALAN KUALA SELANGOR, SEKSYEN U20 SG. PELONG
47000 SUNGAI BULOH, SELANGOR

atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa;

2. Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

Fasal 3 – Matlamat

1. Menyatukan semua guru kolej vokasional, sekolah menengah teknik, pegawai-pegawai di KPM (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat di kementerian Pendidikan Malaysia) dan Guru vokasional di sekolah menengah harian dan pendidikan khas vokasional.

2. Mempertahankan dan membela kebajikan ahli yang berkhidmat di mana-mana bahagian, jabatan, sekolah atau Kolej Vokasional dalam semua aspek perkhidmatan sekiranya munasabah.

3. Menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan, sukan , rekreasi , kursus, seminar dan lain-lain aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli-ahli.

4. Bekerjasama dengan pihak kerajaan khasnya pihak kementerian pendidikan Malaysia dan dalam melaksanakan dan meningkatkan prestasi transformasi pendidikan vokasional .

5. Bekerjasama dengan jabatan lain, pertubuhan atau persatuan lain untuk memperkasakan pendidikan teknikal dan vokasional atau TVET.

6. Menjalankan sebarang aktiviti peningkatan kemahiran vokasional yang dapat memberi manfaat kepada ahli dan negara.

Fasal 4 – Bendera, Lambang dan Lencana

1. Bendera

Keterangan Bendera persatuan berlatar belakang warna biru tua beserta empat jalur warna, iaitu putih, kuning, merah dan hitam yang diambil dari warna Logo Persatuan. Ditengah-tengah bendera terdapat loga persatuan.

2. Lambang dan Lencana

Keterangan

Rekabentuk Lencana dan Lambang Persatuan Guru-Guru Vokasional dan Teknik Malaysia mengandungi dua konsep utama ;

i) Rekabentuk lencana/ lambing yang terdiri dari bentuk elips, gear dan buku.

ii) Memaparkan pelbagai warna iaitu biru tua, merah, kuning, hitam dan putih yang melambangkan makna.

Di bahagian atas lencana tertera nama Persatuan Guru-Guru Vokasional dan Teknik Malaysia (Baru 2015) dan diringkaskan sebagai PGVTM (Baru 2015) ditengah-tengah lencana. Di bahagian bawah lencana terdapat motto persatuan iaitu “MEMPERKASA PENDIDIKAN VOKASIONAL DAN TEKNIK” yang ditulis dengan warna hitam.

REKABENTUK LENCANA/ LAMBANG

Lencana/ lambing ini direkabentuk dengan menggabungkan tiga (3) elips yang bermaksud sentiasa dinamik dan bergerak memacu arus pembangunan negara. Terdapat tiga elips yang mewakili tiga tunggak utama persatuan iaitu aliran Vokasional, Kemahiran dan Teknikal. Simbol giar mewakili imej persatuan yang berteraskan teknikal, vokasional dan kemahiran. Manakala symbol buku pula merujuk pendidikan sebagai sumber kepada ilmu yang dipelajari. Lima nilai warna yang tertera di dalam logo dan bendera ini diperjelaskan seperti dibawah:

i) Biru Tua – merupakan warna asas persatuan. Warna ini melambangkan sifat guru iaitu dipercayai, kebergantungan , berkemahiran dan komited dalam tugas masing-masing. Ia juga membawa maksud pekerja kolar biru yang mewarnai ruang pekerjaan disektor industri negara.

ii) Putih – Sesuai dengan sifat guru yang mendidik, mengajar dan melatih. Warna putih ini melambangkan ketulusan, berjiwa murni, keimanan, kebenaran dan kesucian nilai ahli-ahli persatuan.

iii) Merah – melambangkan tenaga dan semangat waja dimana setiap ahli persatuan sentiasa bersemangat untuk menjalankan tugas masing-masing.

iv) Kuning – melambangkan nilai paling tinggi yang menerangkan setiap ahli persatuan sentiasa menjunjung Prinsip Rukun Negara.

v) Hitam – melambangkan nilai yang jelas, ketepatan hati dan kejituan matlamat persatuan.

KETERANGAN MOTTO DAN NAMA PERSATUAN Motto persatuan adalah “MEMPERKASA PENDIDIKAN VOKASIONAL DAN TEKNIK”. Motto ini dipilih berikutan peranan persatuan yang menjadi tonggak utama kepada pendidikan teknik dan vokasional. Motto ini membawa bermaksud peranan persatuan untuk membantu dan memperkukuh latihan vokasional melalui kementerian-kementerian yang terbabit bagi menjayakan dasar kerajaan untuk mempertingkatkan tahap kemahiran pelajar, pelatih dan guru serta meningkatkan peratusan tenaga mahir negara yang akan memenuhi keperluan pekerjaan dalam sektor industri negara.

Fasal 5 – Penaung

1. Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis terlebih dahulu.

Fasal 6 – Penasihat dan Penasihat Kehormat

1(a).Tuan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik Dan Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia adalah Penasihat persatuan ini

1(b).Penasihat Kehormat boleh dilantik dari individu yang berkedudukan , dihormati dan berpengaruh dalam masyarakat yang boleh dirujuk dan menasihati persatuan dalam aspek yang lebih luas dan terbuka.

2(a).Sekiranya berlaku perubahan struktur dalam Kementerian Pendidikan, mana-mana jawatan tertinggi dalam bahagian atau jabatan yang menguruskan pendidikan teknik dan vokasional hendaklah menjadi penasihat kepada persatuan ini.

Fasal 7 – Keahlian

1. Kriteria keahlian pertubuhan adalah seperti berikut

A. Ahli Biasa
i. Kewarganegaraan : Malaysia
ii. Umur Minima : 18 tahun
iii. Kawasan/Negeri Tempat Tinggal Ahli : Malaysia
iv. Keturunan/Bangsa : Semua
v. Jantina : Lelaki dan Perempuan
vi. Agama : Semua
vii. Kriteria Keahlian Yang Lain :

Terbuka Kepada Warganegara Malaysia Berumur 18 Tahun Ke Atas Yang Bertugas Sebagai Guru, Pensyarah ,Pengajar atau pegawai perkhidmatan pendidikan di:

i. kolej Vokasional
ii. sekolah Menengah Teknik
iii. sekolah Menengah pendidikan Khas (Vokasional)
iv. sekolah Menengah Kebangsaan Bantuan Penuh Kerajaan
v. Kementerian Pendidikan Malaysia
vi. Institut Latihan Kemahiran Awam

B. Ahli Bersekutu
Terbuka kepada mereka yang tidak memenuhi kriteria ahli biasa.

C. Ahli Kehormat
Terdiri daripada mereka yang berjasa kepada masyarakat dan boleh memberi sumbangan kepada pertubuhan. Mereka ditentukan oleh Jawatankuasa dan terkecuali dari pembayaran yuran.

D. Ahli Seumur Hidup
Terbuka kepada Ahli Biasa yang membayar yuran sekaligus.

E. Ahli Remaja
Tiada

2. Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk dipertimbangkan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab.

3. Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran pertama seperti yang ditetapkan hendaklah diterima menjadi ahli Pertubuhan dan hendaklah ia sebagai ahli.

 

Fasal 8 – Pemberhentian dan Pemecatan Ahli

1. Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis 2 minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Agung dan menjelaskan segala hutangnya.

2. Mana-mana ahli yang gagal mematuhi perlembagaan Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh masa yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung keahlian ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

 

Fasal 9 – Sumber Kewangan

Sumber kewangan pertubuhan ini adalah daripada:

1. Bayaran masuk :
RM 10.00 (Ringgit Malaysia Sepuloh Sahaja)

2. Yuran :
RM 2.00 (Ringgit Malaysia Dua Sahaja)

a. Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 7 hari dari awal tiap-tiap bulanan

b. Yuran seumur hidup ( perlu dijelaskan semasa permohonan ahli ) RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja)

c. Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua ( 2 ) bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

d. Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga ( 3 ) bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

e. Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

f. Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

3. Sumbangan
Pertubuhan ini dibenarkan untuk menerima sumbangan dalam bentuk wang dan barangan. Sumbangan berbentuk wang hendaklah diisytiharkan dengan jelas dan tepat dalam Penyata Tahunan pertubuhan.

4. Kegiatan Ekonomi
Pertubuhan ini boleh menjalankan kegiatan ekonomi seperti menjual, membeli, melabur, menyewa, perkhidmatan, memiliki harta alih dan tak alih serta lain-lain kegiatan ekonomi.

Fasal 10 – Mesyuarat Agung

1. Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

2. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang telah ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda perlembagaan pertubuhan.

3. Mesyuarat Agung DwiTahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dalam tempoh dalam tempoh 24 bulan daripada tarikh Mesyuarat Agung DwiTahunan terakhir pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.

Agenda Mesyuarat Agung DwiTahunan adalah:

a. mempertimbangkan laporan Jawatankuasa berkenaan aktiviti pertubuhan
yang lalu;

b. mempertimbangkan laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah
diaudit;

c. memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan melantik Juruaudit (jika berkenaan)

d. menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

4. Setiausaha hendaklah menghantar notis kepada tiap-tiap ahli atau wakil persatuan di setiap tempat bertugas ahli sekurang- kurangnya tiga puloh hari (30) sebelum Mesyuarat Agung DwiTahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan minit mesyuarat dan laporan aktiviti tahunan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan dokumen-dokumen ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.

5. Mesyuarat Agung Khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan:

a. bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa; atau

b. atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima 1/5 dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan ini hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.

6. 6. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

7. 7. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli-ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

8. 8. Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung DwiTahunan terpakai untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

9. 9. Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli atau wakil persatuan satu salinan minit Mesyuarat Agung DwiTahunan dan Mesyuarat Agung Khas dalam tempoh 3 bulan setelah selesainya mesyuarat itu.

Fasal 11 – Jawatankuasa

1. a. Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah
dipilih dua tahun sekali di dalam Mesyuarat Agung DwiTahunan :
Seorang Presiden
Seorang Timbalan Presiden
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari

13 orang Ahli Jawatankuasa mewakili setiap Negeri atau zon.

b. Lantikan Presiden
5 orang Ahli Jawatankuasa Biasa
seorang Penolong Bendahari

2. Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

3(a) Presiden atau Jawatankuasa boleh melantik Pengerusi Negeri atau Zon daripada ahli biasa atau ahli jawatankuasa yang telah dilantik dalam mesyuarat agung .

3(b) Presiden dengan persetujuan jawatankuasa boleh melantik Ahli Jawatakuasa Kehormat daripada mana-mana bekas ahli jawatankuasa tertinggi persatuan atau ahli yang telah bersara sekiranya individu tersebut boleh menyumbangkan idea dan tenaga kepada persatuan.

3(c) Presiden atau jawatankuasa tertinggi hendaklah melantik seorang wakil persatuan untuk mewakili ahli di setiap Kolej Vokasional, Sekolah dan Jabatan atau Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia.

3(d) Presiden atau Jawatankuasa juga boleh mengujudkan biro-biro untuk membantu melaksanakan aktiviti dan pentadbiran dan boleh melantik mana-mana ahli menjadi ahli jawatankuasa kecil.

4. Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung DwiTahunan kecuali Ahli Jawatankuasa biasa yang dilantik mengikut budibicara Presiden.

Semua pegawai boleh dipilih semula dua tahun sekali.

5. Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun yang lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung.

6. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 4 kali dalam setahun. Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli Jawatankuasa 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

7. Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa:

7(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

7(b)Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap itu; dan

7(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatitkan dalam minit.

8. Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan sekiranya diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa.

9. Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung DwiTahunan diadakan.

10. Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

11. Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

12. Jawatankuasa yang lama hendaklah menyerahkan semua dokumen Pertubuhan seperti sijil pendaftaran, perlembagaan berdaftar, salinan Penyata Tahunan, surat-surat maklumbalas, buku-buku akaun, buku bank, cek dan resit, geran-geran tanah, senarai aset dan sebagainya kepada Jawatankuasa baru.

Fasal 12 – Kewajipan-Kewajipan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa

1. Pengerusi, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani minit mesyuarat bila diluluskan.

2. Timbalan Pengerusi hendaklah memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.

3. Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut perlembagaan dan hendaklah ia menjalankan semua perintah mesyuarat agung dan jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua rekod dan dokumen Pertubuhan, kecuali buku-buku akaun dan dokumen kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi maklumat terperinci ahli mengikut kategori seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah kediaman tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat.

4. Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

5. Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Dia hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya atas ketepatan penyata kewangan pertubuhan yang terdiri daripada penyata penerimaan dan perbelanjaan serta kunci kira-kira.

6. Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari.

7. Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

8. Pengerusi Negeri atau zon hendaklah mewakili kepentingan ahli-ahli disetiap negeri atau zon dan membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

9. Wakil Persatuan yang dilantik hendaklah bertindak mewakili ahli disetiap di Kolej, Sekolah, Jabatan atau Bahagian di Kementerian Pendidikan dan boleh mengadakan jawatankuasa kecil untuk melaksanakan aktiviti persatuan ditempat masing-masing.

Fasal 13 – Peraturan Kewangan dan Akaun

1. Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam perlembagaan ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, elaun , biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah juruaudit.

2. Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih daripada RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih dari jumlah itu mestilah dalam tempoh 7 hari dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama Pertubuhan.

3. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Walaubagaimanapun, Jawatankuasa berhak melantik sesiapa antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau pengeluaran wang Pertubuhan semasa ketiadaan mana-mana penandatangan tersebut.

4. Perbelanjaan yang lebih daripada RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuloh Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ribu Sahaja) dan ke bawah bagi sesuatu masa boleh diluluskan bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari.

5. Penyata kewangan bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik di bawah Fasal 11 perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kewangan yang telah diaudit itu hendaklah diedarkan untuk makluman ahli-ahli dan dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung DwiTahunan yang berikut. Setiap Salinan tersebut hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.

6. Tahun kewangan Pertubuhan ini hendaklah bagi tempoh 12 bulan iaitu bermula dari 1 Januari .

Fasal 14 – Pemeriksa Kira-Kira

1. Dua orang yang bukannya pegawai Pertubuhan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung DwiTahunan sebagai Juruaudit. Mereka yang memegang jawatan selama dua tahun boleh dilantik semula.

2. Pemeriksa Kira-Kira adalah dikehendaki memeriksa penyata kewangan Pertubuhan bagi dua tahun. Juruaudit hendaklah membuat perakuan dan menandatangi penyata kewangan tersebut untuk pertimbangan Mesyuarat Agung DwiTahunan.

3. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit penyata kewangan Pertubuhan pada bila-bila masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

Fasal 15 – Pentadbiran Harta

1. Segala harta tidak alih Pertubuhan hendaklah didaftarkan atas nama Pertubuhan dan segala surat cara pelaksanaan berkaitan dengan harta ini dianggap sah dan berkuatkuasa seolah-olah ianya telah dilaksanakan oleh seorang tuan punya berdaftar dengan syarat surat cara itu disempurnakan oleh 3 orang pemegang jawatan pertubuhan pada masa itu yang mana perlantikan mereka disahkan melalui sijil perakuan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan dimeteri dengan meteri Pertubuhan.

2. Harta tidak alih Pertubuhan tidak boleh dijual, digadai, ditarik balik atau ditukar milik tanpa persetujuan Mesyuarat Agung.

Fasal 16 – Tafsiran Perlembagaan Pertubuhan

1. Dalam tempoh diantara dua Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada perlembagaan ini dan Jawatankuasa, jika perlu, boleh memutuskan perkara-perkara yang kurang jelas di dalam perlembangaan ini.

2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

Fasal 17 – Larangan

1. Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam Akta Rumah Judi Terbuka, 1953 adalah dilarang di permis pertubuhan.

2. Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan pekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Pekerja 1959.

3. Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan dari pihak berkuasa yang berkenaan.

4. “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

5. Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Pertubuhan ini hasil dari penyertaannya dalam kegiatan ekonomi hendaklah disalurkan kembali kepada pertubuhan bagi mencapai matlamat pertubuhan ini dan tidak boleh digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada mana-mana ahli Pertubuhan. Sungguhpun begitu peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran gaji atau perbelanjaan pentadbiran atau kedua-duanya kepada manamana ahli atau pekerja Pertubuhan.

Fasal 18 – Pindaan Perlembagaan

1. Perlembagaan ini tidak boleh dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk pindaan perlembagaan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung yang meluluskan pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Fasal 19 – Pembubaran

1. Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

2. Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut perlembagaan hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

3. Permohonan pembubaran ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan pembubaran itu.

Perlembagaan Persatuan Guru-Guru Vokasional Dan Teknik (Baru 2015) telah dibahas dan luluskan dalam mesyuarat agung dwi tahunan kali pertama pada 23 april 2016 di dewan murni kolej vokasional sungai buloh, selangor.