Perutusan Presiden

“Salam 1 Malaysia dan Salam Voktek”

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada barisan Ahli Jawatankuasa Persatuan Guru-Guru Vokasional dan Teknik Malaysia  (PGVTM) yang telah berjaya mewujudkan Laman Web PGVTM yang julung kalinya .

Setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada semua ahli PGVTM dan warga pendidik yang telah berjaya mengharungi Transformasi  Pendidikan Vokasional yang dilaksanakan mulai tahun 2013. Transformasi ini telah melonjakkan kedudukan aliran vokasional dalam sistem pendidikan negara. Peluasan aliran vokasional dan kemahiran dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi negara.

Sehubungan itu, PGVTM terus merasai lonjakan transformasi pendidikan vokasional dan berasa bangga kerana mendapat pengiktirafan yang begitu tinggi daripada kerajaan Malaysia. Justeru, pihak PGTVM akan sentiasa memberi sokongan yang padu kepada Bahagian Pendidikan Teknik  dan Vokasional khususnya dan Kementerian Pendidikan Malaysia . PGVTM  berusaha menjadi wadah perjuangan guru-guru Vokasional untuk menyampaikankan isu-isu/cadangan yang boleh ditangani bersama demi kemajuan anak didik. Semoga ahli-ahli khususnya menjadikan laman web ini sebagai ruang dan peluang untuk berkongsi idea, pendapat dan buah fikiran demi kemajuan transformasi pendidikan Vokasional.

Di kesempatan ini, marilah guru-guru Vokasional dan Teknik Malaysia menanamkan azam dan tekad perjuangan mempertahankan tranformasi Pendidikan Vokasional secara berkesan dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berterampilan , bersahsiah dan berdisiplin. Selain itu, PGVTM sentiasa mendokong peranan guru-guru yang tidak terhad kepada kemahiran dari teknik dan vokasional, juga daripada segi soft skill seperti kemahiran berbahasa, berkomunikasi, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran serta berpandangan jauh bagi mencapai matlamat wawasan 2020.

Akhir kata, saya mengajak ahli-ahli PGVTM dan keluarga pendidik bersama-sama memahami dan menghayati Transformasi Pendidikan Vokasional yang menjadi sistem pendidikan juga akan menyediakan laluan pendidikan yang bersesuai dengan dengan bakat, minat dan gaya pendidikan di samping akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh yang terarah kepada kerjaya pilihan mereka. Pada tahun 2013, Program Transformasi Vokasional telah dilaksanakan dalam sistem di negara kita. Tumpuannya tidak begitu besar terhadap vokasional iaitu kurang 10 peratus. Sasaran KPM adalah meningkatkan sehingga 20 peratus. Kini, pendidikan Vokasional menjadi pilihan utama. Semoga Laman Web PGTVM yang baru dibina menjadi jambatan informasi perkembangan pendidikan Vokasional dan aktiviti-aktiviti ahlinya untuk perkongsian pintar bersama.

TRANSFORMASI  VOKASIONAL MENJANA PELAJAR BERKEMAHIRAN

HAJI RAZAK BIN MD. RADZALI,
Presiden Persatuan Guru-Guru Vokasional dan Teknik Malaysia